Internet TV

Tuesday, April 28, 2009

GEJALA PENAGIHAN GAM

Masalah Hidu Gam Dikalangan Pelajar & Remaja

Masalah remaja hidu gam yang melibatkan pelajar sekolah semakin berleluasa. Ia melibatkan pelajar seawal usia 10 tahun. Gam lebih mudah diperolehi dan lebih murah untuk dibeli menyebabkan gejala tidak sihat ini semakin menular. Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil sesuatu tindakan sebab sehingga kini tiada sebarang akta yang diperuntukkan bagi membendung dan mengatasi masalah ini. Tanpa akta maka masalah yang wujud bukanlah sesuatu yang salah disisi undang-undang. Sekurang-kurang, kerajaan perlu mewujudkan akta bahawa mereka yang dibawah usia 18 tahun tidak boleh membeli gam dalam kuantiti yang banyak.
Gam mengandungi pelarut seperti toluene serta trichloroethylene iaitu toksid yang boleh menggangu fungsi jantung. Jika diambil secara berlebihan, bahan larutan itu akan menyebabkan denyutan jantung tidak stabil, manakala peredaran darah tidak teratur yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. Kesan lain pada fungsi otak:
-menjadi nyanyuk
-hilang ingatan
-psikotik atau gila,
-hilang upaya deria dan
-kelumpuhan pada bahagian tertentu.

Apabila remaja terlibat dengan gejala hidu gam, ia tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing sebab ia bukannya dadah. Ini menyukarkan kita untuk mengesan mereka yang terlibat dengan masalah ini kecuali ketika mereka sedang melakukannya. Malah ada diantara remaja apabila sudah ketagihan sanggup menggunakan bahan alternatif seperti pencair cat, petrol dan tahi lembu kering. Tahi lembu kering itu dibakar asapnya disedut.
Apakah cara untuk kita mengatasinya?
Ibu bapa perlu prihatin dan awasi tingkah laku anak-anak mereka. Semak bilik, laci dan beg sekolah anak. Awasi pergerakan dan rakan-rakan mereka.
Pendedahan tentang kesan dan akibat daripada gejala ini mesti diberikan bermula dari pelajar sekolah rendah lagi. Lebih efektif jika ditunjukkan video serta gambar-gambar agar timbul rasa gerun dan insaf.

Perlu ada akta bagi menghalang gejala ini agar boleh diadakan penguatkuasaan. Malah mungkin gam dijadikan sebagai barang kawalan yang tidak sewenang-wenangnya boleh dibeli, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak.

Perbanyakkan program motivasi di peringkat sekolah. Program motivasi ini pula perlu dilakukan secara berterusan dan lantik mereka yang pakar untuk menjalankan program-program ini.

Disediakan oleh:
Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS)
ps: dipetik dari laman blog Urusetia Menangani Gejala Sosial Negeri Kedah Darul Aman

Wednesday, April 15, 2009

Kenali Diri Anda

Kenalkah anda kepada diri anda sendiri? Anda boleh menjawab spontan 'Ya, sudah tentu.' Jawapan anda mungkin salah kerana jika ramai orang kenal dengan dirinya, mengapa orang tidak boleh meletakkan dirinya kepada kejayaan. Jika anda kenal dengan diri anda, anda sepatutnya dapat menyediakan segala persediaan untuk melangkaui halangan demi kejayaan. Sebab tidak kenalkan Allah dengan sebenar-benar kenal, orang sanggup melanggar larangan ALLAH yang begitu berkuasa menghancurkannya dengan sekelip masa.
Mengenali diri anda adalah tahap pertama untuk kejayaan. Di antara faktor-faktor yang boleh dikatakan sebagai 'mengenal diri ' dan memiliki imaginasi yang cemerlang ialah :-
1. MENGETAHUI ANUGERAH ALLAH S.W.T KEPADA ANDA.
Setiap orang ada kelebihan-kelebihan tertentu yang tidak dipunyai oleh orang lain. Dua orang yang berada dalam satu bidang yang sama, akan berkesudahan dengan seorang sahaja yang berjaya ke puncak dengan cemerlangnya manakala seorang lagi akan tertinggal jauh. Sebagai contoh, sepuluh orang doktor yang bertugas, seorang sahaja yang akan lahir sebagai seorang pakar. Seribu orang menteri, seorang sahaja yang akan menjadi perdana menteri. Mengapa ini berlaku? Jawapannya, orang yang cemerlang tadi mengenali dirinya. Dia juga mengenali TUHAN nya dan semua anugerah yang dianugerahkan oleh TUHAN kepadanya, justeru dia dapat memperalatkan semua anugerah itu tanpa tertinggal satu pun. Dan anugerah yang terbesar dan terpenting bagi manusia ialah TALENT ataupun bakat-bakat tertentu.

Anda fikir, mengapakah kita hanya ada seorang Dato Lee Chong Wei sedangkan ada beratus-ratus lagi pemain badminton yang berbakat besar? Anda fikir mengapakah kita hanya ada seorang Mahathir Mohamad sedang ada beribu-ribu lagi pemimpin berwibawa?

Jawapannya kerana mereka yang berjaya ini telah mempergunakan anugerah-anugerah ALLAH dengan sebaik-baiknya. Dato Nicol Ann David telah mengenali dirinya sebagai ahli sukan dengan bakat-bakat tersendiri, lalu dia berjuang di gelanggang squash. Jadilah dia seorang yang utama kerana dia melalui jalan yang memang telah tersedia untuknya.

Ini tidak pula bermakna anda mesti berada dalam bidang anda sahaja untuk berjaya. Lihat Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau seorang doktor tetapi boleh menjadi seorang perdana menteri yang dikagumi dunia. Apa yang hendak dikatakan ialah anda kena memahami diri anda, keupayaan-keupayaan yang anda ada yang ALLAH anugerahkan kepada anda. Lihat, kenalpasti kemudian gemblengkanlah secukup-cukupnya.

2. MENERIMA HAKIKAT DIRI ANDA

Jika anda dilahirkan 5 kaki 2 inci, terimalah hakikat ini kerana ia kejadian semulajadi anda. Apapun yang anda lakukan anda akan tetap setinggi itu. Jika anda mengetahui anda tidak akan menjadi seorang ahli sukan yang handal kerana kekurangan tenaga dan stamina, akuilah hakikat ini kerana ALLAH telah menyediakan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang anda mahu itu. Tidak semua orang boleh menjadi Lee Chong Wei, Nicol Ann David dan Mahathir Mohamad tetapi setiap orang boleh menjadi seseorang yang hampir menyamai kecemerlangan mereka berdasarkan apa yang telah ALLAH sediakan untuk mereka. Demikianlah dalam membina kejayaan, setiap orang unik dengan fizikal dan personalitinya, kejayaan juga turut unik dan berbeza.

* dipetik dan diolah mengikut kesesuaian dari buku Motivasi Diri 'Membina Imaginasi Cemerlang'- Dr.HM Tuah Iskandar al - Haj

Wednesday, April 1, 2009

'Impian umpama menanam padi'

Itulah ungkapan atau kata-kata hikmat yang dapat dirakam dari ucapan Tuan Pengetua SMK Serian semasa perhimpunan pagi tadi. Menurut pengetua jika petani hendak mendapat hasil yang banyak, maka petani harus berkerja kuat untuk memastikan benih padi yang disemai tumbuh segar. Petani bukan setakat menabur benih dan hanya mengharapkan hasilnya tetapi usaha lain seperti meracun rumpai, menyembur racun serangga dan menabur baja juga perlu diambil berat oleh petani tersebut. Petani juga tidak boleh mengharapkan bahawa menyemai padi hari ini, esok boleh menuai hasilnya. Begitulah juga dengan impian. Jika seseorang pelajar mempunyai impian menjadi seorang doktor pakar bedah, maka tindakan dan gerak kerja haruslah menjurus kepada mencapai impian tersebut. Buku, majalah dan program yang berkaitan doktor bedah seharusnya dibaca dan disertai oleh pelajar yang berimpian menjadi seorang doktor bedah. Persediaan fizikal dan mental perlu dimantapkan kerana dugaan untuk mencapai impian yang besar dan hebat semestinya banyak.