Internet TV

Saturday, January 16, 2010

Hidup Untuk Berjaya...

Jika seseorang ditanya 'apa yang anda mahu dalam hidup''?, sudah pasti kebanyakan jawapannya ''saya mahu berjaya dalam hidup''. Berjaya dalam hidup ni mempunyai erti tersendiri dan berbeza-beza bagi setiap orang.
Pagi tadi, Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling SMK Serian telah menganjurkan satu ceramah motivasi untuk pelajar SPM dan STPM. Pada awalnya seramai 70 orang pelajar yang berminat untuk mengikut ceramah tersebut. Tapi bila dah tiba masa ceramah, hanya 50 orang saja yang hadir. Tak mengapa, lagipun program motivasi pagi tadi pun tak diwajibkan. Hanya yang betul-betul berminat saja dialu-alukan. Tahniah diucapkan kepada para pelajar yang hadir mendengar ceramah motivasi yang disampaikan oleh Mr Chee. Harapnya suntikan semangat motivasi terus membara sampai bila-bila.
Ceramah motivasi tadi sarat dengan kisah-kisah insan yang berjaya. Mereka yang berjaya semuanya manusia biasa, tiada yang istimewa kecuali semangat mereka untuk bangkit setelah banyak kali gagal dalam hidup. Penceramah membawa kisah Genghis Khan, Howard Gardner, Thomas Alva Edison, Albert Einstein, Tony Fernandes dan lain-lain tokoh lagi. Yang sangat menarik bila penceramah menayangkan kisah Nick Vijucic. Walaupun Nick Vijucic dilahirkan cacat tanpa kaki dan tangan, nama beliau sekarang masyhur seluruh dunia sebagai penceramah motivasi.
Di samping itu, penceramah juga berkongsi tip mengenai teknik visualisasi. Teknik visual sangat berkesan kerana boleh menjadi pendesak untuk seseorang itu berusaha untuk mengapai apa yang mereka inginkan. Teknik visual boleh dilakukan dengan letak gambar diri sendiri di tengah-tengah kertas A4, kemudian tampallah gambar apa sahaja yang kita impikan dalam hidup. Sebolehnya impian biarlah jelas, boleh dicapai dan ada jangka masa tertentu. Sebagai contoh, jika pelajar impikan sebuah motosikal besar maka gambar motosikal mesti jelas, warna apa, jenama apa,berapa cc dan sebagainya. Dr. Fadhilah Kamsah ada mengatakan jika makin jelas impian kita maka makin cepatlah tercapainya impian tersebut. Dengan syarat usaha tanpa kenal putus asa.

Monday, January 4, 2010

Orientasi Pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4

Hari ini bermula sesi persekolahan di seluruh negara. Bagi pelajar tingkatan 1 dan tingakatan 4, mereka akan mengikuti program orientasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah masing-masing. Pihak sekolah khususnya Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling SMK Serian telah berjaya menganjurkan program orientasi untuk pelajar tingkatan 4 tahun 2010.

Program orientasi dimulakan dengan ucapan Tuan Pengetua, Hj Rambli Bin Zainudin. Ucapan pengetua berkisar kepada kepentingan seseorang itu mempunyai impian. Dengan adanya impian, seseorang itu akan lebih yakin untuk berusaha dan bertindak. Impian bagi pelajar tingkatan 4 bermula dari pemilihan kelas dan matapelajaran. Sebagai contoh, jika pelajar mempunyai impian menjadi seorang doktor perubatan, maka sudah mestinya pelajar tersebut memilih kelas sains tulen. Namun, pemilihan kelas mestilah berdasarkan keputusan PMR 2009.
Selain pengetua, PK1(En.Ensnat Bin Hj Sauari), PKHem(En Gladdy Peter), PK Ko-kurikulum (En James Tang), Guru Matapelajaran MPV (Cik Azaliza) dan Guru Pusat Sumber SMK Serian (Pn Teresa Stephen) turut mengisi tentatif program orientasi tingkatan 4 untuk kali ini. Program orientasi hari ini berjalan lancar dengan adanya kerjasama semua pihak seperti pentadbir, guru-guru dan juga para pelajar. Orientasi pelajar tingkatan 4 yang bermula 7 pagi telah berakhir tepat jam 12.30 tengahari.
Selain itu, program orientasi diteruskan untuk pelajar tingkatan 1 dan Peralihan yang bermula jam 12.45 tengahari tadi. Orientasi pelajar tingkatan 1 dijadualkan akan berakhir pada hari Khamis (7.1.2010). Program orientasi pelajar tingkatan 1 dilaksanakan untuk memberi penerangan dan pendedahan berkaitan peraturan sekolah, kemudahan yang terdapat di sekolah seperti klinik, asrama lelaki/perempuan dan bilik akses untuk pelajar mencari maklumat secara online. Disamping itu, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang akan dilakukan oleh Guru Kaunseling membantu pelajar-pelajar baru membina keyakinan diri, menimbulkan suasana mesra antara satu sama lain.

Thursday, December 31, 2009

"Satu hari ini, bernilai dua esok, yang bakal terjadi padaku, sudah terjadi sekarang"-BENJAMIN FRANKLIN

Hari esok tahun baru 2010 akan tiba. Hari esok juga anda boleh dilahirkan kembali, kalau anda berkemampuan untuk mengenali diri anda yang sebenarnya. Anda adalah orang yang paling penting di dunia ini. Kebanyakan orang belum menemui fakta mengenai diri mereka. Manusia pada umumnya menghabiskan hari-hari mereka tanpa mengetahui diri mereka yang sebenarnya.
Manusia adalah ciptaan dari pencipta yang Maha Bijaksana, yang membawa kita ke dunia untuk menjalani kehidupan yang berjaya. Kita diciptakan untuk kejayaan. Kita dilengkapi dengan kemungkinan yang tidak terdapat pada makhluk yang lain. Kita mengetahui semua yang harus kita ketahui tentang hobi, sukan dan lain-lain tentang diri kita. Sayangnya kita gagal berbuat seperti Columbus terhadap diri sendiri dengan menemukan diri kita yang sebenarnya. Semua lelaki dan wanita terkemuka di dunia, sejak lahirnya peradaban, pertama sekali menemui diri mereka sendiri sebelum akhirnya melakukan perkara yang hebat dalam bidang masing-masing sebagaimana yang kita kenal seperti Henry Ford, Wright bersaudara, Albert Einstein, Thomas Alva Edison dan lain-lain.
Ayuh, manfaatkan hidup ini dan jalanilah hidup setiap hari seakan-akan inilah hari terakhir anda. Buatlah setiap hari menjadi hari yang bermakna, hari yang bermanfaat. Kita tidak boleh mengubah hari kelmarin. Esok belum pasti akan datang. Sekaranglah satu-satunya waktu yang boleh diterima. Terlalu banyak dari kita yang hidup mengenang masa lalu atau mengharap masa akan datang. Ia tidak berguna bagi kita untuk menghadapi tanggungjawab hari ini. Lupakan masa lalu, ia telah berlalu selamanya. Kejayaan anda di masa akan datang sangat bergantung kepada apa yang anda lakukan hari ini sekarang!!!
Setiap fajar yang baru adalah kelahiran hari baru. Buatlah setiap hari menjadi harapan yang mulia. Ketika bangun pada pagi hari, bangunlah dengan harapan terhadap hal-hal yang baik yang akan datang kepada anda hari ini. Apabila kita membiasakan diri untuk mengharapkan hal-hal baik, biasanya hal-hal itu akan terjadi. Ingatlah, jika kita berbuat yang terbaik pada setiap 'hari ini' yang kita miliki, maka setiap 'hari esok' kita akan mengurus diri sendiri. Ayuh, marilah kita membuat hari ini menjadi lebih baik daripada kelmarin dan marilah kita menetapkan bahawa setiap hari ini adalah bererti bagi kita.

Saturday, October 31, 2009

Kejayaan yang besar dan bermakna memerlukan usaha berterusan...

Seandainya manusia mampu melihat masa depan mereka hanya beberapa jam, beberapa hari, beberapa minggu atau beberapa tahun ke depan maka akan ramai manusia yang mendapat kenyataan bahawa mereka menyerah dan berhenti berusaha ketika pencapaian sudah hampir dalam genggaman. Mereka sudah hampir berjaya tetapi mereka kurang memiliki ketahanan yang diperlukan untuk terus bergerak dan berusaha untuk mencapai impian.
Dunia dipenuhi dengan orang yang memulai. Orang-orang yang boleh mencapai penamatlah yang jarang ditemui. Mengapa dengan begitu ramainya orang yang memulakan, namun hanya sedikit yang mencapai penamat? Dengan berbagai alasan, kebanyakan manusia keluar dari arena kehidupan dan memilih untuk menjadi penonton. Mereka terumbang-ambing ditelan waktu dan membuang masa dengan sia-sia.
Ramai orang yang mempunyai kehendak untuk bergerak menuju kejayaan ketika keadaan belum berat. Ketika mereka berhadapan dengan kesulitan, pada saat penghalang menghalang perjalanan, mereka bukannya menyingkirkan semua penghalang itu dari jalan melainkan berhenti. Kerana gagal menemui jalan penyelesai yang mudah, perjalanan mereka untuk terus ke depan terus terhenti.
Agar boleh mencapai sasaran, untuk memenangi pertandingan di arena kehidupan, kita tidak boleh berhenti di tengah jalan. Kita harus terus bergerak ke depan. Jika tujuan kita jelas, kita harus menundukkan semua kesulitan. Kita harus tetap bertahan untuk tetap bertahan maju, betapa pun gelapnya hari atau betapa besarnya penghalang.

Kebiasaan yang merugikan...

Kebanyakan orang mensia-siakan bahagian hidup mereka yang baik untuk hal-hal yang tidak hakiki. Mereka menghabiskan banyak waktu dengan hal-hal yang tidak berguna. Biasa terjadi kepada para pemalas yang hanya duduk-duduk dan membiarkan waktu berlalu begitu saja, kerana mereka tidak memiliki hal lain yang lebih baik untuk dilakukan. Kegiatan tanpa tujuan seperti ini boleh ditemui di berbagai macam bar dan kelab. Harus diingat, hidup terlalu singkat untuk disia-siakan.

Saturday, September 12, 2009

Tanggungjawab Insan Berjaya

Orang yang mencapai kejayaan sebenar adalah orang yang bertanggungjawab. Sebanyak mana duit dan harta yang anda miliki, ia tidak akan menjamin kebahagiaan dan kepuasan jika anda mementingkan diri sendiri. Tiada gunanya jika anda seorang yang berjaya tetapi orang di sekeliling anda hidup susah. Orang yang memandang rendah terhadap orang lain ialah orang yang mempunyai sifat dengki dan tamak. Sifat seperti ini tidak akan menyenangkan hidup anda, apatah lagi memiliki kepuasan hidup. Anda tidak akan menikmati kepuasan di dalam hidup jika anda tidak bertanggungjawab terhadap diri anda dan juga orang lain.
Saya pasti bahawa anda akan berjaya suatu hari nanti walau dengan apa cara sekalipun kerana itulah impian saya. Ingatlah jika anda sudah berjaya, jangan sesekali kedekut ilmu. Bantulah sesiapa sahaja yang ingin berjaya dengan memberikan mereka ilmu pengetahuan, nasihat serta rahsia-rahsia kejayaan.
Untuk bacaan lanjut, dapatkan buku 'Masa Cipta Kejayaan' tulisan Quincy Kandoh terbitan Truewealth Publishing.

Saturday, September 5, 2009

Mengenali Seseorang Melalui Tingkahlaku

Dalam kehidupan sehari-hari, kita boleh mengenali orang melalui tingkahlakunya. Tidak selalu orang yang paling 'pintar' yang dinaikkan pangkat oleh majikan. Yang mendapat naik pangkat adalah orang yang memiliki akal sihat dan menimbang segala sesuatunya dengan baik.

Dalam keadaan genting atau krisis, kebanyakan orang kehilangan akal sihatnya, terganggu, panik dan melakukan hal-hal bodoh. Seperti yang diajarkan pelaut hebat tentang cara menghadapi badai di lautan, maka tingkah laku orang terkemuka telah terlatih untuk secara tenang dan berkesan menghadapi badai di dalam kehidupan.

Kalau kita ingin mendapatkan kehormatan lebih banyak dari hidup, kita harus belajar untuk tenang, malah dalam keadaan yang paling menyedihkan sekalipun. Dunia terlalu banyak memiliki 'orang rambang', jenis orang yang hanya dapat menyelesaikan tugasnya dalam keadaan yang paling mudah. Tetapi yang diperlukan dunia adalah orang yang tetap tenang dan boleh bertindak dengan tepat dalam masa krisis, darurat dan penuh masalah yang membuat orang lain menjadi kacau bilau dan tidak boleh berbuat apa-apa. Tingkah laku seperti ini menunjukkan kekuatan. Hal ini merupakan hasil dari keserasian mental.

Jadi, latihlah pengendalian yang sempurna terhadap mental anda.