Internet TV

Tuesday, May 5, 2009

Akta & Undang-undang Dadah


Fakta Dadah :
Akta & Undang-undang Dadah :: Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998)
SEKSYEN 39B
KESALAHAN/JENIS DADAH

Memiliki 15 gm atau lebih dan/atau morfin
Memiliki 1000 gm atau lebih candu masak atau mentah
Memiliki 40 gm kokain atau lebih
Memiliki 200 gm atau lebih ganja
Memiliki 2000 gm daun koka atau lebih
Memiliki 50 gm atau lebih Amphetamine Type Stimulants (ATS) contoh; syabu atau pil ecstasy
HUKUMAN : Mati Mandatori

SEKSYEN 39(A)(2)
KESALAHAN/JENIS DADAH

Memiliki 5-15 gm heroin atau morfin
Memiliki 250-1000 gm candu
Memiliki 50-200 gm ganja
Memiliki lebih 15-40 gm kokain
Memiliki lebih 750 gm daun koka
Memiliki 30-50 gm Amphetamine Type Stimulants (ATS) contoh; syabu atau pil ecstasy
HUKUMAN :Tidak kurang lima tahun penjara atau dipenjara seumur hidup dan diwajibkan tidak kurang 10 rotan sebatan
SEKSYEN 39(A)(1)
KESALAHAN / JENIS DADAH
Memiliki 2-5 gm heroin atau morfin
Memiliki 100-250 gm candu
Memiliki 20-50 gm ganja
Memiliki 5-15 gm kokain
Memiliki 250-750 gm daun koka
Memiliki 5-30 gm Amphetamine Type Stimulants (ATS) contoh; syabu atau pil ecstasy
HUKUMAN :Tidak kurang dua tahun penjara tetapi tidak lebih 5 tahun dan diwajibkan sebatan rotan antara 3 hingga 9 kali-sama-
SEKSYEN 6B
KESALAHAN / JENIS DADAH
Menanam atau mengusahakan pokok ganja
HUKUMAN :Penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan rotan tidak kurang 6 kali
SEKSYEN 6
KESALAHAN / JENIS DADAH
Memiliki kurang daripada 5 gm candu mentah atau daun koka atau pokok popi atau biji ganja dari popi
HUKUMAN :Penjara tidak lebih 5 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.00 ATAU kedua-duanya sekali.
SEKSYEN 9
KESALAHAN / JENIS DADAH
Memiliki kurang 100 gm candu masak
HUKUMAN : -sama- SEPERTI SEKSYEN 6
SEKSYEN 10
KESALAHAN / JENIS DADAH
Penggunaan sesuatu premis, pemilikan Alat-alat menghisap dadah
HUKUMAN :-sama- SEPERTI SEKSYEN 6
SEKSYEN 12(2)
KESALAHAN / JENIS DADAH
Memiliki kurang 2 gm heroin atau morfin
Memiliki lain-lain dadah kurang daripada Sek.39(A)(1)
Pejawat awam yang bertugas di penjara, pusah pemulihan, lokap polis atau mana-mana tempat tahanan dan memiliki dadah di tempat tersebut
HUKUMAN : Denda tidak lebih RM100 ribu atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi pegawai awam penjara, polis peg. pemulihan dikenakan tidak lebih 3 sebatan sebagai tambahan.
SEKSYEN 15(A)
KESALAHAN / JENIS DADAH
Memasukkan dadah (dadah-dadah yang dijadualkan) ke dalam badan
HUKUMAN : Penjara tidak kurang 2 tahun atau denda tidak lebih RM5,000.00
SEKSYEN 15(B)
KESALAHAN / JENIS DADAH
Berada di dalam premis tempat hisap dadah
HUKUMAN : Penjara tidak kurang 2 tahun atau denda tidak lebih RM5,000.00

Tuesday, April 28, 2009

GEJALA PENAGIHAN GAM

Masalah Hidu Gam Dikalangan Pelajar & Remaja

Masalah remaja hidu gam yang melibatkan pelajar sekolah semakin berleluasa. Ia melibatkan pelajar seawal usia 10 tahun. Gam lebih mudah diperolehi dan lebih murah untuk dibeli menyebabkan gejala tidak sihat ini semakin menular. Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil sesuatu tindakan sebab sehingga kini tiada sebarang akta yang diperuntukkan bagi membendung dan mengatasi masalah ini. Tanpa akta maka masalah yang wujud bukanlah sesuatu yang salah disisi undang-undang. Sekurang-kurang, kerajaan perlu mewujudkan akta bahawa mereka yang dibawah usia 18 tahun tidak boleh membeli gam dalam kuantiti yang banyak.
Gam mengandungi pelarut seperti toluene serta trichloroethylene iaitu toksid yang boleh menggangu fungsi jantung. Jika diambil secara berlebihan, bahan larutan itu akan menyebabkan denyutan jantung tidak stabil, manakala peredaran darah tidak teratur yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. Kesan lain pada fungsi otak:
-menjadi nyanyuk
-hilang ingatan
-psikotik atau gila,
-hilang upaya deria dan
-kelumpuhan pada bahagian tertentu.

Apabila remaja terlibat dengan gejala hidu gam, ia tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing sebab ia bukannya dadah. Ini menyukarkan kita untuk mengesan mereka yang terlibat dengan masalah ini kecuali ketika mereka sedang melakukannya. Malah ada diantara remaja apabila sudah ketagihan sanggup menggunakan bahan alternatif seperti pencair cat, petrol dan tahi lembu kering. Tahi lembu kering itu dibakar asapnya disedut.
Apakah cara untuk kita mengatasinya?
Ibu bapa perlu prihatin dan awasi tingkah laku anak-anak mereka. Semak bilik, laci dan beg sekolah anak. Awasi pergerakan dan rakan-rakan mereka.
Pendedahan tentang kesan dan akibat daripada gejala ini mesti diberikan bermula dari pelajar sekolah rendah lagi. Lebih efektif jika ditunjukkan video serta gambar-gambar agar timbul rasa gerun dan insaf.

Perlu ada akta bagi menghalang gejala ini agar boleh diadakan penguatkuasaan. Malah mungkin gam dijadikan sebagai barang kawalan yang tidak sewenang-wenangnya boleh dibeli, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak.

Perbanyakkan program motivasi di peringkat sekolah. Program motivasi ini pula perlu dilakukan secara berterusan dan lantik mereka yang pakar untuk menjalankan program-program ini.

Disediakan oleh:
Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS)
ps: dipetik dari laman blog Urusetia Menangani Gejala Sosial Negeri Kedah Darul Aman

Wednesday, April 15, 2009

Kenali Diri Anda

Kenalkah anda kepada diri anda sendiri? Anda boleh menjawab spontan 'Ya, sudah tentu.' Jawapan anda mungkin salah kerana jika ramai orang kenal dengan dirinya, mengapa orang tidak boleh meletakkan dirinya kepada kejayaan. Jika anda kenal dengan diri anda, anda sepatutnya dapat menyediakan segala persediaan untuk melangkaui halangan demi kejayaan. Sebab tidak kenalkan Allah dengan sebenar-benar kenal, orang sanggup melanggar larangan ALLAH yang begitu berkuasa menghancurkannya dengan sekelip masa.
Mengenali diri anda adalah tahap pertama untuk kejayaan. Di antara faktor-faktor yang boleh dikatakan sebagai 'mengenal diri ' dan memiliki imaginasi yang cemerlang ialah :-
1. MENGETAHUI ANUGERAH ALLAH S.W.T KEPADA ANDA.
Setiap orang ada kelebihan-kelebihan tertentu yang tidak dipunyai oleh orang lain. Dua orang yang berada dalam satu bidang yang sama, akan berkesudahan dengan seorang sahaja yang berjaya ke puncak dengan cemerlangnya manakala seorang lagi akan tertinggal jauh. Sebagai contoh, sepuluh orang doktor yang bertugas, seorang sahaja yang akan lahir sebagai seorang pakar. Seribu orang menteri, seorang sahaja yang akan menjadi perdana menteri. Mengapa ini berlaku? Jawapannya, orang yang cemerlang tadi mengenali dirinya. Dia juga mengenali TUHAN nya dan semua anugerah yang dianugerahkan oleh TUHAN kepadanya, justeru dia dapat memperalatkan semua anugerah itu tanpa tertinggal satu pun. Dan anugerah yang terbesar dan terpenting bagi manusia ialah TALENT ataupun bakat-bakat tertentu.

Anda fikir, mengapakah kita hanya ada seorang Dato Lee Chong Wei sedangkan ada beratus-ratus lagi pemain badminton yang berbakat besar? Anda fikir mengapakah kita hanya ada seorang Mahathir Mohamad sedang ada beribu-ribu lagi pemimpin berwibawa?

Jawapannya kerana mereka yang berjaya ini telah mempergunakan anugerah-anugerah ALLAH dengan sebaik-baiknya. Dato Nicol Ann David telah mengenali dirinya sebagai ahli sukan dengan bakat-bakat tersendiri, lalu dia berjuang di gelanggang squash. Jadilah dia seorang yang utama kerana dia melalui jalan yang memang telah tersedia untuknya.

Ini tidak pula bermakna anda mesti berada dalam bidang anda sahaja untuk berjaya. Lihat Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau seorang doktor tetapi boleh menjadi seorang perdana menteri yang dikagumi dunia. Apa yang hendak dikatakan ialah anda kena memahami diri anda, keupayaan-keupayaan yang anda ada yang ALLAH anugerahkan kepada anda. Lihat, kenalpasti kemudian gemblengkanlah secukup-cukupnya.

2. MENERIMA HAKIKAT DIRI ANDA

Jika anda dilahirkan 5 kaki 2 inci, terimalah hakikat ini kerana ia kejadian semulajadi anda. Apapun yang anda lakukan anda akan tetap setinggi itu. Jika anda mengetahui anda tidak akan menjadi seorang ahli sukan yang handal kerana kekurangan tenaga dan stamina, akuilah hakikat ini kerana ALLAH telah menyediakan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang anda mahu itu. Tidak semua orang boleh menjadi Lee Chong Wei, Nicol Ann David dan Mahathir Mohamad tetapi setiap orang boleh menjadi seseorang yang hampir menyamai kecemerlangan mereka berdasarkan apa yang telah ALLAH sediakan untuk mereka. Demikianlah dalam membina kejayaan, setiap orang unik dengan fizikal dan personalitinya, kejayaan juga turut unik dan berbeza.

* dipetik dan diolah mengikut kesesuaian dari buku Motivasi Diri 'Membina Imaginasi Cemerlang'- Dr.HM Tuah Iskandar al - Haj

Wednesday, April 1, 2009

'Impian umpama menanam padi'

Itulah ungkapan atau kata-kata hikmat yang dapat dirakam dari ucapan Tuan Pengetua SMK Serian semasa perhimpunan pagi tadi. Menurut pengetua jika petani hendak mendapat hasil yang banyak, maka petani harus berkerja kuat untuk memastikan benih padi yang disemai tumbuh segar. Petani bukan setakat menabur benih dan hanya mengharapkan hasilnya tetapi usaha lain seperti meracun rumpai, menyembur racun serangga dan menabur baja juga perlu diambil berat oleh petani tersebut. Petani juga tidak boleh mengharapkan bahawa menyemai padi hari ini, esok boleh menuai hasilnya. Begitulah juga dengan impian. Jika seseorang pelajar mempunyai impian menjadi seorang doktor pakar bedah, maka tindakan dan gerak kerja haruslah menjurus kepada mencapai impian tersebut. Buku, majalah dan program yang berkaitan doktor bedah seharusnya dibaca dan disertai oleh pelajar yang berimpian menjadi seorang doktor bedah. Persediaan fizikal dan mental perlu dimantapkan kerana dugaan untuk mencapai impian yang besar dan hebat semestinya banyak.

Tuesday, March 31, 2009

Rahsia 2 - RAHSIA PEMAKANAN GENIUS-GENIUS ISLAM

Formula pemakanan genius-genius Islam silam yang menjadi rahsia keajaiban daya intelek mereka. Formula ini terpendam di dalam kitab-kitab tradisional dalam bahasa Arab. Tersembunyi dari pengetahuan orang Arab dan umat Islam sendiri. Namun akhir-akhir ini ada usaha-usaha untuk mengetengahkan kembali kepada umum. Sekarang semacam ada kecenderungan di kalangan ilmuan Islam dan bukan Islam untuk mengkaji dan menguji keabsahan formula ini. Ini didorong oleh penemuan - penemuan saintifik yang membuktikan kebenarannya, khususnya terhadap susu, madu dan telur. Berikut adalah formula pemakanan genius - genius Islam yang telah terbukti berupaya meningkatkan kepintaran dan kekuatan daya ingatan :

1) MADU
Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktirafkannya sebagai "shifa'" iaitu penyembuh penyakit. Manisan madu digelar "Raja Ubat", dapat menyembuh kebanyakkan penyakit. Ia adalah makanan untuk kesihatan keseluruhannya. Ia mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral, protein, antiseptik dan enzim yang meningkatkan ingatan dan kecerdasan mental individu. Madu juga mengandungi pelbagai zat galian yang penting seperti kalsium, sulfur, fosforus, zat besi, karbon, magnesium, potassium (kalium), kuprum, silika, klorin, mangganese dan belerang untuk memupuk tenaga dan kesihatan fizikal-mental. Rasullullah s.a.w bersabda, "Siapa ingin hafal, hendaklah ia minum manisan madu". Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit - penyakit mental di mana ia boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat.

CARA MINUM : 2 sudu teh pada waktu pagi dan malam.
PANTANG : Jangan makan tembikai semasa menggunakan madu. Sangat merbahaya !

2) KISMIS
Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Kekurangan oksigen menyebabkan seseorang mudah mengantuk, pelupa, lembab dan mengalami kelemahan dalam berfikir.
CARA MAKAN :i)Menghadap Kiblatii)Baca "Bismillah" dan selawat ke atas nabi (3 kali)iii)Baca doa penerang hatiiv)Makan secara kemam seperti makan gula-gula. Tidak berkesan jika dikunyah seperti makan kacang.v)Makan sebiji-biji sebanyak 21 biji setiap hari.
3) SUSU SEGAR
Susu berguna untk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semulajadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu adalah makanan yang paling lengkap dan berkhasiat. Ia mengandungi enam kelas makanan yang amat diperlukan oleh tubuh iaitu karbohidrat, lemak, protein, semua jenis vitamin, mineral dan air. Ia berkhasiat untuk merawati kesihatan umum dan merupakan penawar kelupaan yang berkesan. Rasullullah s.a.w menerangkan susu boleh menguatkan belakang, menambahi akal, memperbaiki penglihatan dan menghindari penyakit lupa. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri - biri dan lembu yang segar. Susu hidup lebih berkhasiat dari susu debu.

CARA MINUM :
i)Sekurang-kurangnya segelas pada sebelah pagi dan malamii)Baca "Bismillah" dan doa minum susu seperti yang dibaca oleh Rasullullah s.a.w

4) TELUR
Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli - ahli kesihatan mengakui ia merupakan makanan yang lengkap dan berkhasiat. Ia mengandungi protein, mineral, vitamin, kalsium, kuprum, magnesium, fosforus, kalium, sulfur, natrium, klorin, zat besi, air, choline dan bahan ekstraktif. Sabda Nabi s.a.w, "Sesungguhnya seorang nabi a.s mengadu kepada Allah (kerana dia)lemah badan. Maka Allah s.w.t memerintahkannya supaya memakan telur". Telur terutama telur kuning, berupaya mengatasi masalah kelemahan tenaga fizikal dan minda sekaligus. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.

5) HALIA
Ianya sangat mujarab untuk gejala kelupaan. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halua. Halua ialah halia yang dijadikan manis - manisan dengan merebus dan mencampurkannya dengan gula.

CARA MAKAN : Dimakan sedikit sahaja pada waktu pagi.
6) LIMAU OREN
Berkhasiat untuk mengemaskan urat-urat jantung dan menambah kekuatan fikiran menurut hadis Nabi s.a.w. Limau - limau jenis lain juga elok untuk diamalkan.
7) BUAH DELIMA
Untuk penerang hati. Sabda Nabi s.a.w, "Barangsiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari."
8) DAGING BURUNG MERPATI
Ianya banyak digunakan oleh bijak pandai Islam dan Melayu dahulukala. Ia mengandungi protein, lemak, kalsium, fosforus dan kalori. Sangat efektif untuk meningkatkan kecerdasan terutama kanak - kanak. Kaedah ini sangat popular dan berkesan. Kanak - kanak yang diberi telur burung merpati didapati dapat bercakap lebih awal dari kebiasaannya.
9) OTAK AYAM
Boleh dibuat sup dan dicampur dengan halia. Otak ayam yang segar juga boleh dibuat penawar sementara bagi gigitan ular. Perlu diamalkan memakannya.
10) DAGING AYAM
Berbanding dengan semua jenis daging, ayam dianggap mengandungi kadar zat pemakanan yang paling tinggi. Daging ayam betina dara terutamanya berkhasiat meningkatkan prestasi otak dan membaiki darah. Abu Musa r.a meriawayatkan bahawa Nabi s.a.w memakan daging ayam betina.
11) DAGING BIRI-BIRI
Menambah darah, sesuai untuk orang aktif dan bekerja berat serta dapat meningkatkan kekuatan hafazan.
12) HATI
Terutamanya hati ayam dan lembu. Mengandungi pelbagai jenis vitamin dan bermanfaat untuk kesihatan mental dan fizikal.
13) KEKACANG
Beberapa jenis kacang seperti gajus, berangan, kacang soya, pistachio dan lain-lain. Kacang pistachio dipercayai sangat efektif untuk meningkatkan kecerdasan terutamanya kanak-kanak. Memakan kacang pistachio merupakan amalan pemakanan seorang pelajar genius berbangsa Melayu yang tinggal di Melaka. Kekacang mengandungi nilai protein yang tinggi.
14) BUAH BADAM
Untuk meningkatkan kecerdasan.
15) ZA'FARAN : KOMKOMA (CROCOS SATIVUS)Sejenis bahan berambu merah. Dimakan sedikit sahaja. Dijual di kedai-kedai runcit India dan sesetengah kedai runcit Melayu.
16) KEMENYAN PUTIH (kemenyan serani/luban/kundar)Ditumbuk halus-halus dan dimakan dengan gula.
17) BUNGA KOBIS
Terdapat sejenis asid amino untuk tenaga mental.
18) BUNGA CENGKEH
Ditumbuk sehingga halus lalu diamakn sedikit sahaja.
19) LABU
Berfaedah menambahkan keupayaan fikiran dan akal. Sabda Nabi s.a.w., "Makanlah labu kerana ia mencerdaskan akal". Baginda juga berkata, "Jika kamu membuat sup (atau kuah), dianjurkan memasukkan labu ke dalamnya kerana ia menambahkan kemampuan fikiran dan akal.
20) BUAH KEDEKAI (MAJALAWI)
Menguatkan hafalan dan menguatkan kekuatan badan.
21) MINYAK SAPI
Dimakan terus atau dicampurkan dengan masakan dalam kuantiti yang kecil.
22) SAYUR-SAYURAN DAN BAUH-BUAHAN SEGAR
Juga membantu meningkatkan akal dan memori

Friday, March 13, 2009

Rahsia 1 - PEMAKANAN UNTUK KEPINTARAN AKAL

Makanan mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap tubuh badan, jiwa, emosi dan akal. Kalau seseorang tidak memperolehi makanan dalam tempoh yang lama, 20 jam umpamanya, badannya menjadi letih, penat dan lesu. Jiwanya lemah dan pesimis. Otaknya lembab dan kuasa fikirannya menurun. Emosinya terganggu menyebabkan ia menjadi pemurung , perakus dan pemarah. Bila sahaja mendapat makanan, tiba-tiba dia berubah menjadi cergas, cerdas, lincah, bersemangat, riang dan gembira. Begitulah besarnya pengaruh makanan terhadap fizikal, spiritual, mental dan emosi.

Pun begitu, terdapat pelbagai jenis makanan. Ada yang cepat memberi kesan terhadap kecergasan otak, ada yang lambat. Tugas kita ialah memilih makanan yang terbaik dan memberi kesan terpantas terhadap minda. Makanan terbaik ialah makanan yang halal, seimbang, berzat dan berjadual.

Makanan seimbang ialah set makanan yang mengandungi kesemua bahan makanan yang diperlukan oleh otak dan tubuh supaya dapat berfunsi dengan sempurna. Ia terdiri dari tujuh kumpulan makanan iaitu protein, karbohidrat, vitamin, lemak, mineral, air dan serat. Tanpa keseimbangan makanan, fungsi sel-sel dalam otak dan organ tubuh badan akan terjejas.

MAKANAN UNTUK KESIHATAN BADAN DAN KEPINTARAN AKAL

1)KARBOHIDRAT
Membekalkan tenaga kepada seluruh badan termasuk otak. Sumbernya ialah nasi, roti, sayur - sayuran, madu, gula, buah-buahan seperti kentang, keledek, pisang dan lain-lain.

2)PROTEIN
Ia perlu untuk KESIHATAN OTAK KESELURUHANNYA. Berperanan menumbuh, membentuk, membesar dan mengantikan sel-sel yang rosak. Sumbernya ialah susu, daging, ikan, telur, kekacang, tauhu, keju, kacang pis dan lain-lain.

3)LEMAK
Membekalkan tenaga kepada badan. Sumbernya ialah mentega, minyak makan, marjerin, lemak binatang dan tumbuhan.

4)AIR
Merupakan bahan utama semua benda hidup. Air berfungsi mengeluarkan kekotoran, membersih dan mengalir darah serta zat makan ke seluruh badan. Seterusnya MENGEKALKAN KESIHATAN OTAK. Kita mudah dihinggapi penyakit, gangguan emosi dan gangguan sistem pencernaan sekiranya kekurangan air. Seelok-eloknya minumlah air mati (jarang/masak/putih) sebanyak 8 gelas sehari. Sebelum tidur, cukupkanlah bilangan air yang perlu diminum.

5)MINERAL
Untuk aktiviti saraf dimana otak merupakan teraju utamanya. Sumbernya ialah telur, susu, sayur - sayuran, limpa, hati, ulam-ulam dan makanan laut seperti udang.

6)VITAMIN
Semua vitamin A,B,C,D,E dan K diperlukan.
Vitamin A
Menguatkan deria penglihatan dan pendengaran, menguatkan tenaga dan urat saraf serta melicinkan pernafasan. Sumbernya ialah susu, kuning telur, sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan.

Vitamin B
Membantu pembakaran makanan yang lebih efektif untuk kesihatan badan. Sumbernya ialah sayur-sayuran, bijirin, telur, hati, yis, buah-buahan segar, beras dan kacang.

Vitamin C
Penguat sistem ketahanan badan, meningkatkan kesihatan mata dan kulit, meninggikan daya tumpuan seterusnya engurangkan khayalan semasa proses pembelajaran. Sumbernya ialah sayur-sayuran dan buah-buahan.

7)SERAT
Melicinkan sistem pencernaan dan pembuangan najis. Gangguan pada sistem pencernaan menyebabkan kehilangan daya tumpuan, kelemahan fikiran dan gangguan perasaan. Kesemuanya ini menjejaskan potensi otak dan ingatan. Sumbernya ialah sayur-sayuran dan buah-buahan.

ZAT-ZAT MAKANAN UNTUK KEKUATAN INGATAN

Menurut penyelidikan saintifik terkini, terdapat beberapa zat makanan yang dapat membantu meningkatkan kekuatan memori. Bahan -bahan tersebut ialah Choline, Lesithin, Vitamin E, Asid Glutamik, Kalium Fosfat, Magnesium Fosfat dan Silika.

Choline ialah sejenis asid amino. Boleh diperolehi dari kacang soya, bunga kobis, kacang pistachios daging, ikan dan telur. Lesithin didapati dari telur merah, kacang soya dan organ otak binatang terutama otak ayam.
Vitamin E terdapat dalam hati, telur ayam, betik, sayuran hijau, sayur taugeh, minyak kelapa sawit dan bijirin seperti jagung, beras, tepung gandum penuh(wholemeal). Asid Glutamik terdapat dalam kacang soya terutamanya. Manakala Kalium Fosfat, Magnesium Fosfat dan Silika boleh diperolehi dengan menggunakan ubat-ubatan dari sistem perubatan biokimia.

Thursday, March 12, 2009

5 Cara Menetapkan Matlamat yang Power

  1. Matlamat mestilah spesifik dan boleh diukur.
  2. Matlamat mestilah mencabar dan menarik.
  3. Anda mesti tahu "KENAPA" matlamat itu penting.
  4. Anda mesti ada pelan tindakan untuk bertindak!
  5. Mesti ada tempoh masa untuk matlamat anda.

Bagi bacaan lanjut layari ebook percuma pemikirkaya.com