Internet TV

Wednesday, April 15, 2009

Kenali Diri Anda

Kenalkah anda kepada diri anda sendiri? Anda boleh menjawab spontan 'Ya, sudah tentu.' Jawapan anda mungkin salah kerana jika ramai orang kenal dengan dirinya, mengapa orang tidak boleh meletakkan dirinya kepada kejayaan. Jika anda kenal dengan diri anda, anda sepatutnya dapat menyediakan segala persediaan untuk melangkaui halangan demi kejayaan. Sebab tidak kenalkan Allah dengan sebenar-benar kenal, orang sanggup melanggar larangan ALLAH yang begitu berkuasa menghancurkannya dengan sekelip masa.
Mengenali diri anda adalah tahap pertama untuk kejayaan. Di antara faktor-faktor yang boleh dikatakan sebagai 'mengenal diri ' dan memiliki imaginasi yang cemerlang ialah :-
1. MENGETAHUI ANUGERAH ALLAH S.W.T KEPADA ANDA.
Setiap orang ada kelebihan-kelebihan tertentu yang tidak dipunyai oleh orang lain. Dua orang yang berada dalam satu bidang yang sama, akan berkesudahan dengan seorang sahaja yang berjaya ke puncak dengan cemerlangnya manakala seorang lagi akan tertinggal jauh. Sebagai contoh, sepuluh orang doktor yang bertugas, seorang sahaja yang akan lahir sebagai seorang pakar. Seribu orang menteri, seorang sahaja yang akan menjadi perdana menteri. Mengapa ini berlaku? Jawapannya, orang yang cemerlang tadi mengenali dirinya. Dia juga mengenali TUHAN nya dan semua anugerah yang dianugerahkan oleh TUHAN kepadanya, justeru dia dapat memperalatkan semua anugerah itu tanpa tertinggal satu pun. Dan anugerah yang terbesar dan terpenting bagi manusia ialah TALENT ataupun bakat-bakat tertentu.

Anda fikir, mengapakah kita hanya ada seorang Dato Lee Chong Wei sedangkan ada beratus-ratus lagi pemain badminton yang berbakat besar? Anda fikir mengapakah kita hanya ada seorang Mahathir Mohamad sedang ada beribu-ribu lagi pemimpin berwibawa?

Jawapannya kerana mereka yang berjaya ini telah mempergunakan anugerah-anugerah ALLAH dengan sebaik-baiknya. Dato Nicol Ann David telah mengenali dirinya sebagai ahli sukan dengan bakat-bakat tersendiri, lalu dia berjuang di gelanggang squash. Jadilah dia seorang yang utama kerana dia melalui jalan yang memang telah tersedia untuknya.

Ini tidak pula bermakna anda mesti berada dalam bidang anda sahaja untuk berjaya. Lihat Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau seorang doktor tetapi boleh menjadi seorang perdana menteri yang dikagumi dunia. Apa yang hendak dikatakan ialah anda kena memahami diri anda, keupayaan-keupayaan yang anda ada yang ALLAH anugerahkan kepada anda. Lihat, kenalpasti kemudian gemblengkanlah secukup-cukupnya.

2. MENERIMA HAKIKAT DIRI ANDA

Jika anda dilahirkan 5 kaki 2 inci, terimalah hakikat ini kerana ia kejadian semulajadi anda. Apapun yang anda lakukan anda akan tetap setinggi itu. Jika anda mengetahui anda tidak akan menjadi seorang ahli sukan yang handal kerana kekurangan tenaga dan stamina, akuilah hakikat ini kerana ALLAH telah menyediakan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang anda mahu itu. Tidak semua orang boleh menjadi Lee Chong Wei, Nicol Ann David dan Mahathir Mohamad tetapi setiap orang boleh menjadi seseorang yang hampir menyamai kecemerlangan mereka berdasarkan apa yang telah ALLAH sediakan untuk mereka. Demikianlah dalam membina kejayaan, setiap orang unik dengan fizikal dan personalitinya, kejayaan juga turut unik dan berbeza.

* dipetik dan diolah mengikut kesesuaian dari buku Motivasi Diri 'Membina Imaginasi Cemerlang'- Dr.HM Tuah Iskandar al - Haj

No comments: